Dua belas (12) orang anggota Lembaga terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan lapan (8) orang anggota Lembaga biasa adalah sebagai penggubal dasar dan empat (4) orang pengurusan serta kakitangan-kakitangan bawahan adalah bertanggungjawab sebagai pelaksana kepada dasar dan keputusan yang telah dibuat melalui Mesyuarat Lembga bulanan sejajar dengan kehendak penubuhan koperasi. Semasa ini terdapat lima (5) anggota Jawatankuasa Audit Dalaman yang bertanggungjawab memantau rekod perakaunan dan rekod lain yang berhubungan secara langsung atau tidak langsung dengan Koperasi KOSWIP dan subsidiari koperasi bagi memastikan hal ehwal koperasi dijalankan mengikut matlamat penubuhan, Undang-undang Kecil serta keputusan mesyuarat agung perwakilan tahunannya. Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad juga melantik juruaudit luar untuk memastikan akaun-akaun yang disediakan adalah bertepatan dan menepati kehendak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebelum ianya dibentangkan di dalam mesyuarat agung perwakilan tahunannya. Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad juga mempunyai 27 kawasan dan di 25 kawasan mempunyai 7 orang jawatankuasa yang dipilih melalui para perwakilan kawasan manakala 2 kawasan lagi adalah kawasan Zon selatan dan Zon Utara yang tidak mempunyai jawatankuasa kawasan.
Mesyuarat agung perwakilan tahunan adalah merupakan kuasa tertinggi dan diadakan tidak lewat daripada enam bulan selepas berakhirnya setiap tahun kewangan. Pada setiap tahun semenjak 74 tahun yang lalu, Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad belum pernah gagal mengadakan mesyuarat agung perwakilan tahunannya.
KINI seiring dengan arus pembangunan negara, Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad boleh berbangga kerana masih lagi mengekalkan keududukannya di dalam ranking tertinggi antara 52 buah koperasi kredit yang ada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Koperasi KOSWIP juga pernah disenaraikan koperasi ke 5 terbaik berasaskan jumlah modal syer/yuran sekitar tahun 2008. Koperasi KOSWIP memiliki dana yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti kredit sebagai penjana utama dan bagi tujuan-tujuan lain yang mendatangkan keuntungan kepada Koperasi KOSWIP. Warga Koperasi KOSWIP juga boleh berbangga kerana KOSWIP mempunyai aset-aset yang kukuh seperti bangunan-bangunan dan pelaburan dalam bentuk wang simpanan dan saham.
Selain itu Koperasi KOSWIP pada setiap tahun tidak pernah gagal untuk menjaga kebajikan anggotanya. Pelbagai peruntukan kumpulan wang diwujudkan sedari dulu dan sehingga kini masih dilaksanakan dan diamalkan seperti pelaksanaan pemberian kumpulan kebajikan anggota, khairat kematian, bantuan pendidikan dan dermasiswa anak-anak anggota, zakat perniagaan serta pendidikan seranta anggota. Anggota juga pada setiap tahun menerima dividen atas modal yuran dan modal syer. Secara tidak langsung aktiviti-aktiviti yang dijalankan sebegini adalah sebagai penyumbang kualiti kehidupan anggota-anggota dan seterusnya masyarakat Malaysia.
Namun begitu koperasi KOSWIP masih berusaha dan mencari peluang-peluang perniagaan yang lain yang sesuai dilaksanakan di Koperasi KOSWIP yang boleh mandatangkan faedah disamping sebagai penyokong kepada aktiviti utama iaitu aktiviti kredit yang dilaksanakan selama ini. Inisiatif ini adalah perlu oleh kerana Koperasi KOSWIP terpaksa bersaing dengan koperasi-koperasi dan institusi kewangan lain yang mana masing-masing menghadapi risiko tersendiri dan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Penglibatan semua pihak warga Koperasi KOSWIP dengan mengambil langkah proaktif dan sentiasa peka kepada keadaan semasa koperasi-koperasi pada masa kini adalah dipertanggungjawabkan untuk memastikan Koperasi KOSWIP hidup segar dan semakin maju serta berkembang dan boleh dibanggakan.