Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat bertemu di ruangan ini untuk sama-sama berkongsi mengenai dengan perkembangan Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad. Sebagai makluman semua, KOSWIP telah menjangkau usia 85 tahun penubuhannya, dan dalam tempoh berkenaan KOSWIP telah melalui pelbagai rintangan, dugaan dan mengalami bermacam masalah. Dengan berkat usaha dan kerjasama semua terutama anggota KOSWIP kita dapat mengatasi masalah ini dengan penuh kesabaran dan akhirnya kita berjaya mengekalkan prestasi KOSWIP hingga ke hari ini.
Tahun 2009 banyak memberi cabaran kepada KOSWIP dalam menghadapi dunia perniagaan, walaupun begitu kita masih mampu bersaing berbanding dengan sesetengah koperasi yang mengalami kemerosotan. KOSWIP masih merupakan antara koperasi yang berada dalam kelas tersendiri walaupun terpaksa bersaing dengan koperasi-koperasi lain dan bank-bank perdagangan yang menawarkan skim pembiayaan yang lebih tinggi tetapi KOSWIP tetap dekat di hati anggota-anggotanya.
Pihak anggota Lembaga dan pengurusan sentiasa berkerjasama berusaha mencari idea dan merancang strategi baru untuk kemudahan anggota-anggotanya. Dalam mempertahankan perniagaan KOSWIP masih berpegang kepada prinsip 'Sambil Meminjam Sambil Menyimpan' yang merangkumi ciri-ciri jimat cermat yang merupakan asas penubuhan koperasi.
Alhamdulillah dengan berkat kesungguhan anggota lembaga, KOSWIP telah berjaya melaksanakan pinjaman berlandaskan Muamalat Islamiah mulai Ogos 2009. Pada tahun ini pula KOSWIP sedang berusaha untuk melaksanakan Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu) bertempat di Brickfields, Kuala Lumpur dan akan dikembangkan ke tempat-tempat lain yang difikirkan sesuai. Saya berharap dengan sokongan dari semua anggota dan kerjasama padu dari anggota lembaga dan pengurusan, Insyaallah perlaksanaan pajak gadai Islam ini akan dapat meningkatkan lagi pendapatan KOSWIP.
Saya berharap laman web KOSWIP ini menjadi saluran komunikasi bagi anggota untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini berkaitan dengan KOSWIP dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk mengemaskinikan laman web ini dengan info-info terkini. Sesuai dengan slogan 'KOSWIP ERA MAJU' dan zaman internet yang telah menjadi satu alat komunikasi yang cepat dan berkesan, kita sepatutnya mendapat manfaat yang semaksima mungkin dari teknologi moden yang sentiasa berubah dari masa ke semasa.
Akhir kata saya mengucapkan Salam Bahagia kepada semua pengunjung laman web ini.
Assalamualaikum.
HJ. NIK HASSAN FAUZI B. HJ. NIK ABDULLAH ,PPN
Pengerusi
Koperasi KOSWIP Malaysia Berhad